SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi universiti
pertama di Asia Tenggara untuk 'Program Universiti Texas-Instruments
(TI)' menerusi kerjasama dengan TI untuk memperkukuhkan kepakaran
pelajar dalam ujian elektronik analog dan kejuruteraan produk.
Texas Instruments merupakan syarikat semi-konduktor dan pengeluar litar bersepadu (IC) analog terbesar di dunia.
Timbalan Naib Canselor UPM, Prof Datuk Ir Dr Mohd Salleh Jaafar
berkata, misi universiti adalah memberi sumbangan bermakna kepada
penjanaan kekayaan, pembangunan negara dan kemajuan manusia menerusi
pendedahan dan penyebaran ilmu.
"Kami menggalakkan fakulti-fakulti di universiti untuk
mempertingkatkan kerjasama mereka dengan industri di negara ini mahupun
antarabangsa.
"Oleh itu, kerjasama UPM dan Texas Instruments selama tiga tahun bagi
fasa pertama yang bermula pada Januari tahun depan menjadi
penambahbaikan dalam kemudahan pembelajaran dan kepakaran para pelajar,"
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis
menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UPM dan Texas
Instruments Malaysia di sini, Khamis.
Menerusi kerjasama ini, Texas Instruments akan melibatkan Teradyne,
peneraju pembekal Peralatan Ujian Automatik (ATE) untuk peranti
semi-konduktor elektronik analog yang menyediakan kemudian penguji,
latihan dan sokongan teknikal kepada golongan profesor dan pelajar di
UPM dalam program sarjana muda elektronik.
Dr Mohd Salleh berkata, UPM mahu memperkukuhkan bidang kejuruteraan selain makanan dan pertanian.
"Kita mahu ke hadapan melahirkan bakat-bakat dan pakar-pakar di kalangan pelajar menerusi pendedahan yang lebih baik.
LOGO SYARIKAT TEXAS INSTRUMENTS |
Mengenai kerjasama tersebut, Dr Mohd Salleh berkata, dianggarkan
seramai 150 pelajar dari Fakulti Kejuruteraan akan mengikuti model
berkenaan secara berperingkat dalam fasa pertama.
"Kerjasama tiga tahun ini adalah permulaan dan persediaan. Ia akan
diteruskan bagi mempertingkatkan kepakaran para pelajar secara
berterusan," katanya, sambil menambah pada masa ini terdapat kira-kira
3,000 pelajar di Fakulti Kejuruteraan UPM.
Sementara itu, Pengarah Urusan Texas Instruments Malaysia, Eduardo
Bernal berkata, pemilihan UPM untuk kerjasama ini bukan calang-calang
kerana ia dinilai berdasarkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta
keupayaan tenaga pengajar dan pelajar.
"Kami melihat fakulti kejuruteraan (UPM) mempunyai potensi untuk
diperkembangkan di samping mempertingkatkan pengetahuan terhadap
jurutera yang dilahirkan oleh universiti pada masa akan datang,"
katanya.
Bernal menambah, kerjasama dengan UPM menunjukkan signifikan baru
bagi Texas Instruments yang sudah pun mengadakan hubungan strategik
khususnya dalam kepakaran teknologi dan kejuruteraan dengan ratusan
universiti di seluruh dunia selain Asia Tenggara.
Texas Instruments mula bertapak di Malaysia sejak 40 tahun lalu pada
tahun 1972 dalam komitmennya untuk membangunkan persediaan bakat
kejuruteraan di negara ini.
-Sumber dari Mstar Online-
-Sumber dari Mstar Online-
{ 0 komen... read them below or add one }
Post a Comment