Serdang, 13 Mei 2012: Isu tuntutan Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia KEPERTAMA UPM) ke atas Hospital Serdang yang terletak bersebelahan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM masih dalam perbincangan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirin berkata, dua kementerian yang terlibat memperincikan butiran mengenai pengambilalihan tersebut adalah Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi serta perlu mengikut prosedur.
"Perbincangan ini melibatkan dua kementerian dan itu merupakan prosedur yang perlu dilakukan kerajaan sebelum mengambil kata putus kerana ia melibatkan fasiliti dan aset kerajaan."
Hospital yang didirikan di atas tanah milik UPM mula beroperasi 15 Disember 2005 itu, menurut perjanjian awal, akan memberi kemudahan pembelajaran kepada penuntut bidang perubatan UPM.
Sebaliknya yang berlaku, UPM tidak diberikan keutamaan untuk menggunakan hospital itu sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran.
Hospital Serdang menjadi isu apabila janji kerajaan pada awal penubuhannya untuk memberi keutamaan pembelajaran dan pengajaran kepada UPM didakwa tidak ditepati (kanan: Hospital Serdang, kiri: Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan)
Isu ini timbul apabila keluhan sebahagian besar penuntut bidang perubatan dan sains kesihatan terpaksa menjalankan latihan di hospital lain dan tidak berpusat. Antara hospital terlibat, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Kajang, Hospital Kuala Pilah.
Usaha KEPERTAMA mendesak pengembalian hak tersebut mendapat sokongan beberapa pertubuhan kalangan pelajar dan staf UPM. Pengerusi Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia (GAKUM), Datuk Omar Osman berkata, pihaknya menyokong desakan KEPERTAMA bagi membolehkan universiti mempunyai hospital sendiri seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Universiti Malaya (UM).
Sementara itu, Pro-Mahasiswa UPM pula secara ringkas mengeluarkan kenyataan menyokong nama Hospital Serdang ditukar kepada Hospital Universiti Putra Malaysia (HUPM). Satu page laman sosial facebook "Mahasiswa UPM Menuntut Hospital Serdang" turut dilancarkan untuk memberi maklumat dan kempen kepada pelajar tentang tuntutan tersebut. Walaubagaimana pun, kumpulan yang melancarkan page berkenaan tidak diketahui.
Dalam perkembangan yang sama, Setiausaha Ahli Lembaga Pelawat (ALP) Hospital Serdang, Dr M. Mahendran pula berpandangan sebaliknya. Menurut beliau, sewajarnya hospital itu terus berada di bawah pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia agar rakyat yang tidak berkemampuan mendapatkan rawatan di situ.
Beliau berkata,“Pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital ini bukan sahaja terdiri daripada penduduk sekitar Serdang malah pesakit dari negeri lain seperti Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor.
“Hospital Serdang merupakan hospital pakar yang menawarkan kos rawatan yang rendah dan mampu dibayar oleh para pesakit serta menjadi tumpuan bagi pesakit jantung menjalani rawatan selain Institut Jantung Negara,”
Memetik laporan yang dikeluarkan akhbar Kosmo dalam sidang akhbar di hospital tersebut menyebut, Kira-kira satu juta pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Serdang bakal berhadapan masalah bayaran kos rawatan lebih tinggi jika pengurusannya diambil alih oleh pihak Universiti Putra Malaysia (UPM).-PutraNews
{ 0 komen... read them below or add one }
Post a Comment