Kesatuan kakitangan UPM dakwa Kementerian Kesihatan tidak tepati janji
SERDANG: Kesatuan kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM) mendakwa Kementerian Kesihatan gagal memberi kemudahan pembelajaran kepada pelajar universiti itu di Hospital Serdang seperti yang dijanjikan, sejak 10 tahun lalu.
Sehubungan itu, Kesatuan Kakitangan Am (KEPERTAMA) meminta kementerian terbabit supaya 'memulangkan' hospital berkenaan yang dibina di atas tanah seluas 18 hektar milik universiti itu.
Kedudukan Hospital Serdang (kanan) bersebelahan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM (kiri)
Pengerusi KEPERTAMA universiti, Mohd Zailani Abdul Razak, berkata tapak tanah hospital itu diserahkan untuk dibangunkan sebagai hospital pada 1998 tanpa sebarang pampasan.
“Bagaimanapun, melalui persetujuan bersama, hospital membenarkan UPM menggunakan kemudahan hospital untuk proses pembelajaran pelajar fakulti perubatan kami.
“Apa yang mengecewakan sehingga kini UPM tidak diberi keutamaan untuk menggunakan hospital itu sebagai pusat pengajaran dan permohonan sebelum ini ditolak disebabkan beberapa isu,” katanya ketika sidang media, di sini, semalam.
Pemulangan hospital berkenaan memberi manfaat kepada lebih 1,500 pelajar perubatan yang sebelum ini terpaksa menjalankan latihan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Kajang dan Hospital Kuala Pilah.
Mohd Zailani berkata, perkara itu perlu ditangani segera bagi membolehkan pihak universiti menambah pengambilan pelajar perubatan selain meningkatkan mutu rawatan di hospital itu.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia (GAKUM), Datuk Omar Osman, berkata pihaknya menyokong desakan KEPERTAMA bagi membolehkan universiti mempunyai hospital sendiri seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM).
“GAKUM berharap satu rundingan bersama menteri perlu diadakan bagi mencapai satu keputusan baik dan pada masa sama, kempen tandatangan sokongan pelajar, pengajar serta penduduk sekeliling sedang diambil,” katanya.
Sumber berita: Berita Harian (9 Mei 2012) dan disunting oleh PutraNews.
{ 0 komen... read them below or add one }
Post a Comment