Kolumnis: Tenaga Solar Teknologi CPV di UPM, Komitmen ke Arah Lestari Hijau Kampus

on 26 Feb 2012

Oleh: Jamaluddin Hishamsudi


Tentu sekali rakan sekalian terperasan kalau melalui jalan Lebuh Silikon dari kolej menuju ke Kompleks Sukan UPM, cuba lihat di sebelah kiri di hadapan Dewan Banquet, ada plat-plat solar didirikan di situ. Timbul rasa kagum dan bangga melihat teknologi penting di Malaysia yang cuacanya panas lembap dengan siangnya 12 jam ini, dibangunkan di Universiti Putra Malaysia.

Teknologi ini bukan baru diperkenalkan namun tahukah kita di sebalik plat sumber tenaga solar yang dibina tahun lepas itu mempunyai teknologi tersendiri? Apakah teknologi yang dibangunkan itu? Secara mudahnya, kita ketahui bahawa teknologi solar bertujuan menghasilkan tenaga elektrik dengan cahaya matahari sebagai sumber tenaga.


Majlis pelancaran Ogos lepas 

Sumber tenaga solar yang dilancarkan pada 26 Ogos 2011 melalui memorandum persefahaman (MoU) antara Fakulti Kejuruteraan UPM dengan Zhonghan pada 2010 ini  menggunakan teknologi Concentration Photovoltic  (CPV) (sila klik).  

Teknologi ini menggunakan cermin atau kanta untuk menumpukan kawasan besar cahaya matahari, atau tenaga haba suria, ke atas suatu kawasan kecil.

Sebenarnya, projek ini bukan dibangunkan oleh UPM sahaja tetapi dengan kerjasama syarikat dari China, Sichuan Zhonghan Solar Electric Power Co. Ltd. (Zhonghan). Biasalah, kepakaran mesti dikongsi untuk kebaikan manusia.

Projek ini juga inisiatif UPM menyelidik sumber tenaga alternatif untuk meningkatkan tahap efisien dan kos efektif kapasiti teknologi sistem CPV dalam skala komersil serta membangunkan Loji Pengeluaran Tenaga Solar dengan kapasiti menjana dua megawatt tenaga elektrik. Teknologi ini juga amat sesuai dengan keadaan cuaca di negara kita.

Alat tersebut juga mampu mengurangkan bilangan panel Photovoltaic (PV) melalui penggunaan Contractor Glass pada kadar 50% serta mengesan tahap maksima tenaga radiasi dan insolasi dari sumber matahari secara automatik.

Lebih menarik lagi, rupa-rupanya projek ini juga sebagai usaha membudayakan amalan penggunaan tenaga berhemah di kampus! Maklumlah, UPM juga ke arah memastikan kelestarian kehijauan kampus dan kecekapan penggunaan tenaga di kampus. Patutlah ada yang sebut UPM sebagai ‘Kampus Hijau.’

Kita juga patut berbangga kerana UPM merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi dari Asia termasuk 10 universiti terbaik di dunia yang menggunakan teknologi itu.

Cuba kira ada berapa set sistem solar di depan Dewan Banquet itu. Zhonghan telah memasang 10 set sistem solar terdiri daripada enam set sistem reflective CPV with tracker, dua set sistem flat PV with tracker dan dua set sistem flat PV.

Oleh itu, kesempatan ini selingan peringatan untuk kita, hargailah sumber alam yang dikurniakan Tuhan untuk dimanfaatkan dan diurus sebaik-baiknya kerana setiap ciptaan Tuhan pasti ada fungsi dan tujuan tersendiri. Namun awas, alam menjadi rosak kerana tangan manusia juga, sebab itu berlaku bencana alam seperti gempa bumi, ribut, pencemaran dan sebagainya.

Tenaga solar sangat bermanfaat kepada manusia untuk hasilkan tenaga elektrik kerana ia hanya memberi kesan yang minima kepada alam sekitar. Tahniah UPM!


Penulis merupakan penuntut Bac. Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan tahun ketiga Universiti Putra Malaysia (UPM)
Ranking: 5

{ 0 komen... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Harian Putra | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO