Kita kenal sebelum ini bahawa Pro-Mahasiswa gerakannya bertenaga memperjuangkan autonomi dan kebajikan mahasiswa seperti slogan-slogan yang sering mereka laungkan. Aspirasi pun begitu, memperjuangkan kebajikan mahasiswa cuma mungkin dianggap tidak bersungguh oleh seteru mereka dan masih terikat dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) memandangkan kebanyakan calon Aspirasi ditaja oleh BHEP.
Ini hakikatnya walaupun Aspirasi tidak pernah mengaku bahawa mereka ditaja oleh BHEP. Lazimnya, BHEP memperuntukkan bajet dengan membawa calon-calon Aspirasi secara 'senyap-senyap' ke kem dan kursus anjuran mereka beberapa hari sebelum pilihanraya kampus berlangsung. Di sinilah penjelasan dibuat dengan menerapkan semangat kesetiaan kepada pihak pentadbiran sambil memburukkan seteru mereka, Pro-Mahasiswa.
Walaupun begitu, Pro-Mahasiswa juga tidak ketinggalan untuk mempersiapkan calon mereka dengan kursus-kursus ringkas supaya calon mereka lebih bersedia. Apa yang nyata, kebanyakan calon Pro-Mahasiswa terdiri daripada ahli Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUPM). Maka, tidak hairan sekiranya ada pihak yang sentiasa mengaitkan PMIUPM sinonim dengan Pro-Mahasiswa.
Pro-Mahasiswa juga mempamerkan imej sebagai Pro-Islam sekali gus berbeza dengan imej nasionalis Aspirasi. Ini boleh dilihat dengan penampilan bertudung labuh siswi yang menyertai Pro-Mahasiswa, penganjuran solat hajat berjamaah di dataran berhampiran Pusat Kesihatan Universiti, ahli lelaki yang kerap berkopiah putih di kepala dan lain-lain tindakan yang boleh kita nampak. Hal ini tidak menghairankan memandangkan kebanyakan calon Pro-Mahasiswa terdiri daripada ahli PMIUPM sendiri.
Mungkin juga kerana, menurut perlembagaan universiti sebelum pindaan AUKU 1976, persatuan berdaftar dilarang terlibat dengan politik. Bagi menjaga 'survival' persatuan itu, maka mereka bergerak di bawah satu pertubuhan yang tidak berdaftar, iaitu Pro-Mahasiswa.
Soalnya, adakah PMIUPM sahaja yang ahlinya bergiat dalam pilihanraya kampus? Sedangkan lebih 100 persatuan berdaftar yang lain, mustahil tiada ahlinya melibatkan diri sebagai calon dan jentera termasuk bergiat dalam kumpulan sama ada Aspirasi atau Pro-Mahasiswa.
Maka, kita perlu membezakan antara persatuan berdaftar dengan kumpulan politik di kampus. Sebagai contoh, seorang ahli persatuan berdaftar bergiat dalam Aspirasi, tidak bermakna persatuan itu Aspirasi. Jika itulah dakwaan kita, kita sudah tersilap kerana gagal membezakan persatuan berdaftar dengan kumpulan politik.
Begitu juga PMIUPM tidak wajar dilabelkan sebagai Pro-Mahasiswa kerana sebahagian ahlinya menyertai pilihanraya kampus. Kita perlu membezakannya.
LAIN MACAM PRK KALI INI
Kita sepatutnya lebih terbuka dan optimis dengan peristiwa 23 Februari tahun lepas. Peristiwa ini membekalkan kita banyak pengajaran. Biarlah ada pihak yang lebih berminat mengungkit peristiwa itu secara tidak adil dan menjadi batu api semata-mata untuk menghangatkan pilihanraya kampus.
Pada mereka, peristiwa ini mungkin dianggap sebagai momentum kepada perubahan undi mahasiswa yang sering menerima cerita 'versi kaki DVD' ini. Sedangkan Charles Darwin mengemukakan Teori Evolusi pun ada manusia percaya, apatah lagi kisah yang banyak versi ini.
Tidak mengapa, kita tinggalkan dahulu peristiwa hitam tersebut dengan nafas baru. Tahun ini, berdasarkan pemerhatian saya, pilihanraya kampus UPM mempunyai keunikan tersendiri. Mungkin juga kesan daripada 'mood' kebanyakan mahasiswa di universiti ini yang tidak berminat dengan politik berkumpulan dan cukup hanya bertanding individu 'ala-ala memilih ketua kelas'.
Meraikan 'mood' tersebut, mungkin inilah keputusan yang diambil oleh Pro-Mahasiswa yang langsung tidak memperkenalkan calon mereka kepada pengundi kalangan mahasiswa kali ini. Kita tidak lagi melihat video calon yang bertanding secara berkumpulan, kita juga belum nampak sekumpulan mahasiswa berdemonstrasi di bangunan pentadbiran bersama tuntutan mereka, konvoi-konvoi motorsikal dan aktiviti seumpamanya turut tidak kelihatan.
Lain pula yang berlaku pada Aspirasi, Aspirasi yang belum pernah mengumumkan siapa ketua jentera mereka, hari ini ketua jentera isytihar berundur dari kumpulan Aspirasi dan menubuhkan Siswa Penggerak Universiti (SPU). SPU dikatakan bebas dari politik luar dan tidak terikat dengan pihak pentadbiran. Apa sebab pengunduran tersebut kita tidak pasti, barangkali ini strategi mereka .
Apa yang saya mahu fokus di sini, Aspirasi kini muncul sebagai gerakan agresif dalam mencetuskan isu-isu kebajikan pelajar dan isu-isu dalaman mereka di samping terus mencantas Pro-Mahasiswa sebagai seteru mereka. Sebaliknya pula, Pro-Mahasiswa kelihatan lesu secara zahirnya dan seakan bersembunyi dari dunia politik kampus UPM. Ada dua kemungkinan iaitu sama ada Pro-M alami keretakan dan gagal menghantar calon mereka atau sebagai strategi untuk mengaburi mata pengundi.
Mungkin ada yang masih belum tahu, tidak sama dengan tahun-tahun lepas, kali ini mengikut dalam peraturan pemilihan, calon dibenarkan bertanding berkumpulan cuma kumpulan tersebut mestilah persatuan/pertubuhan berdaftar di UPM. Barangkali nilah alasan kuat yang menjadi punca kepada keengganan Pro-Mahasiswa umumkan calon mereka.
Jadi, apa yang lain macam pada PRK kali ini? Antaranya, Pro-Mahasiswa UPM dikatakan sedang berbaik dengan pihak pentadbiran serta menyambut baik pembaharuan yang Naib Canselor, Datuk Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi perkenalkan seperti melantik ketua jawatankuasa yang disegani kalangan pegawai dan staf serta NC menjamin pilihanraya kampus berlangsung dengan telus. Hubungan antara Pro-Mahasiswa dengan TNC HEPA, Prof Datuk Mohd Fauzi Ramlan juga berdasarkan pemerhatian masih terjalin baik
Kali ini mereka bukan lagi 'kaki bantah' seperti tahun lepas. Itupun, bantahan yang mereka kemukakan ada asasnya. Antaranya, JKP didakwa memanipulasi sistem maklumat pelajar (SMP) yang membawa masalah kepada calon Pro-Mahasiswa semasa hari penamaan, mereka membantah manipulasi SMP ketika itu.
Mereka juga kali ini seakan akur dengan peraturan yang ditetapkan JKP tanpa membantah peraturan yang ditetapkan. Biasanya, Pro-Mahasiswa menjuarai dalam membantah peraturan ditetapkan JKP kerana sebahagiannya dianggap menganiaya dan tidak menghormati hak mahasiswa.
Kali ini mereka bukan lagi 'kaki bantah' seperti tahun lepas. Itupun, bantahan yang mereka kemukakan ada asasnya. Antaranya, JKP didakwa memanipulasi sistem maklumat pelajar (SMP) yang membawa masalah kepada calon Pro-Mahasiswa semasa hari penamaan, mereka membantah manipulasi SMP ketika itu.
Mereka juga kali ini seakan akur dengan peraturan yang ditetapkan JKP tanpa membantah peraturan yang ditetapkan. Biasanya, Pro-Mahasiswa menjuarai dalam membantah peraturan ditetapkan JKP kerana sebahagiannya dianggap menganiaya dan tidak menghormati hak mahasiswa.
Berbeza pula dengan Aspirasi, mereka dikatakan telah berpecah kepada ahli yang pro kepada individu tertentu dalam BHEP, dengan ahli yang mahu Aspirasi bebas daripada BHEP dan politik luar. Sebab itulah kita boleh meneliti melalui laman 'cybertroopers' mereka saling bercanggah pandangan dan mencantas sesama mereka sehingga tertubuhnya SPU. Namun begitu, seperti Pro-Mahasiswa, Aspirasi juga tidak mengumumkan siapa calon mereka.
Dengan perpecahan ini, SPU yang tidak lagi sealiran dengan Aspirasi mendakwa akan menghantar calon mereka Selasa ini. Jadi, mereka menimbulkan pertandingan yang lebih sengit dan menambah penjuru yang akan bertanding.
Boleh dikatakan semua calon bakal bertanding atas tiket bebas, namun sebahagian besarnya tetap ditaja oleh pendokong Aspirasi, Pro-Mahasiswa dan terbaru, Siswa Penggerak Universiti. Cuma masing-masing enggan mengaku lantas boleh menimbulkan kekeliruan apabila saling mendakwa kumpulan mereka telah menang sekiranya majoriti MPP yang menang daripada calon tajaan masing-masing.
Dengan perpecahan ini, SPU yang tidak lagi sealiran dengan Aspirasi mendakwa akan menghantar calon mereka Selasa ini. Jadi, mereka menimbulkan pertandingan yang lebih sengit dan menambah penjuru yang akan bertanding.
Boleh dikatakan semua calon bakal bertanding atas tiket bebas, namun sebahagian besarnya tetap ditaja oleh pendokong Aspirasi, Pro-Mahasiswa dan terbaru, Siswa Penggerak Universiti. Cuma masing-masing enggan mengaku lantas boleh menimbulkan kekeliruan apabila saling mendakwa kumpulan mereka telah menang sekiranya majoriti MPP yang menang daripada calon tajaan masing-masing.
Walaupun begitu, mahasiswa tetap berpeluang memilih calon berdasarkan penilaian pada manifesto, latar belakang pendidikan, imej dan penampilan serta keperibadian yang ada pada calon.
Secara asasnya, kita belum dapat simpulkan daripada penelitian awal ini. Selagi belum tiba pengumuman rasmi calon yang menang dan pasti menang tanpa bantahan, banyak kemungkinan boleh berlaku. Saya tidak berani mengulas lebih panjang menjelang dua hari lagi pilihanraya kerana masing-masing kumpulan kebiasaannya mempunyai 'strategi akhir' yang kritikal. Adakalanya luar dari kotak pemikiran kita. Akhir kata, selamat mengundi!
Oleh: Ahmad Hakim
Penulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian PutraNews. PutraNews tidak bertanggungjawab atas kekurangan dan kesilapan pada penulisan tersebut.
Sebarang artikel atau pandangan untuk dipaparkan, sila emel ke surat.putranews@gmail.com
{ 0 komen... read them below or add one }
Post a Comment