UPM Lahirkan Paling Ramai Graduan PhD Tahun Ini, 457 daripada 6118 Graduan Keseluruhan

on 23 Sept 2012

Kuala Lumpur, 21 Sep: Universiti Putra Malaysia (UPM) tahun ini mencatat sejarah sekali lagi apabila 457 graduan akan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 13 Oktober depan.

Naib Canselornya, Datuk Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata, daripada keseluruhan 6118 graduan, seramai 457 graduan bakal menerima PhD dan angka ini merupakan jumlah tertinggi bagi mana-mana universiti tempatan.

"Kerajaan menyasarkan sesebuah universiti penyelidikan untuk menghasilkan 500 pelajar PhD setiap tahun dan UPM sedang berusaha untuk merealisasikan matlamat itu.

Tujuannya adalah untuk membantu proses transformasi industri utama negara daripada sebuah negara pembuatan kepada sebuah negara inovasi."katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada majlis itu nanti, selain 457 graduan PhD, seramai 1872 graduan bakal menerima Ijazah Sarjana, 3418 graduan Ijazah Sarjana Muda manakala 371 graduan Diploma.

Tambahnya, pada majlis itu nanti, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan bakal ditauliahkan dengan Ijazah Kehormat (Doktor Pengurusan) bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang dilakukannya demi negara.

Selain itu, bersempena pesta konvokesyen, UPM juga bakal mengadakan Ekspo Pertanian selama empat hari bermula pada 12 Oktober di Bukit Ekspo, UPM.

Menurut Radin, pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang ekspo tersebut yang bercorak santai, riadah dan akademik pada masa yang sama.

"Kami menjemput orang ramai khususnya penduduk Lembah Klang untuk sama-sama hadir memeriahkan ekspo empat hari itu nanti kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik disediakan.

"Antaranya, pameran-pameran ternakan dan pertanian, penjualan benih tumbuh-tumbuhan, lelongan anak kuda serta pelbagai pertandingan lain yang sesuai untuk seisi keluarga. 

Sumber berita daripada Utusan Malaysia 21 September dan disunting oleh PutraNews.
Ranking: 5

{ 0 komen... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Harian Putra | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO