KUALA LUMPUR 9 Sept. - Mahasiswa lebih berminat dan menyokong kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang membela kepentingan mereka seperti yang diperjuangkan kumpulan proaspirasi sejak sekian lama.
Bekas Yang Dipertua MPP Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kamal Ali berkata, ia berbeza dengan pendekatan kumpulan promahasiswa yang gemar berdemontrasi dan menimbulkan suasana tidak tenteram di kalangan mahasiswa.
Menurutnya, mahasiswa hari ini dilihat semakin matang dan bijak membuat keputusan memilih MPP terbaik bagi mewakili mereka dalam menyuarakan hak serta pendapat kepada kerajaan.
"Sudah tentu mahasiswa tidak mahu MPP yang mewakili mereka gemar membuat kecoh dan huru-hara, bagaimana mahu memperjuangkan nasib mahasiswa jika MPP sendiri sentiasa diselubungi pelbagai masalah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pilihan raya kampus bagi memilih kepimpinan baru MPP bagi sesi 2012-2013 yang akan diadakan pada 20 hingga 25 September ini.
Pemilihan itu melibatkan 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara membabitkan pertandingan antara kumpulan proaspirasi dan promahasiswa.
Pada masa sama, Kamal mengingatkan mahasiswa mengawasi taktik pihak tertentu yang cuba mempengaruhi pemikiran mereka agar menolak kerajaan melalui program yang digerakkan kumpulan promahasiswa.
Katanya, mahasiswa perlu sedar mereka sentiasa menjadi sasaran untuk diperalatkan pihak tertentu khususnya di kalangan parti politik terutama menjelang musim pilihan raya umum.
"Kita harus sedar, tujuan ke universiti adalah untuk menimba ilmu dan siapa yang menyediakan segala kemudahan dan keperluan pendidikan itu?
"Sekiranya ia kurang menepati keperluan, mahasiswa masih mempunyai ruang menyuarakan kekurangan tersebut," katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, mahasiswa perlu bijak memilih MPP yang memahami aspirasi mereka sebagai pelajar dan menolak kumpulan mahasiswa yang secara terang-terangan memperjuangkan politik kepartian.
Mengenai bahang pilihan raya kampus ketika ini, beliau menjelaskan, calon akan diketahui dalam masa dua minggu lagi memandangkan sesi minggu orientasi mahasiswa baru berakhir.
"Bahang pilihan raya kampus sudah mula dirasai memandangkan ada kumpulan mahasiswa yang sudah menganjurkan program tetapi sebenarnya berkempen bagi menyokong parti politik tertentu," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
{ 0 komen... read them below or add one }
Post a Comment