PRK UPM 2012: Penamaan Calon 13 September, Mengundi 25 September

on 11 Sept 2012

Serdang, 12 Sept: Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UPM 2012 atau lebih dikenali sebagai pilihanraya kampus (PRK) bakal dijalankan pada 25 September ini. Sementara itu, penamaan calon yang akan   menyaksikan perebutan pencalonan oleh kumpulan Aspirasi, Pro-Mahasiswa dan bebas pula dijalankan esok (Khamis), 13 September.  

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, pelajar semester pertama yang baru mendaftar pada awal bulan ini turut bakal mengundi pada hari pengundian. Tahun lepas dan sebelumnya, pelajar yang mengundi sekurang-kurangnya berada di semester kedua. Ini berikutan penetapan tarikh PRK yang dianjak dari bulan Mac kepada September iaitu sebaik menerima kemasukan pelajar baharu.

Berdasarkan pemerhatian PutraNews, kumpulan Aspirasi dan Pro-Mahasiswa masing-masing telah mempersiapkan jentera pilihanraya termasuk mengaktifkan media sosial.



Pro-Mahasiswa UPM yang diterajui oleh Tarmizi Anuwar yang kekal sebagai Pengerusi setakat ini belum mengumumkan senarai nama calon yang akan bertanding. Pada masa yang sama, kumpulan Aspirasi juga belum mengumumkan senarai calon mereka sebagai kumpulan yang memegang kerusi majoriti dalam PRK sebelum ini.

Pelbagai spekulasi yang timbul menjelang PRK kali ini. Antaranya, notis pengumuman pemilihan dinaikkan sebelum pelajar melapor diri dipersoalkan Pro-Mahasiswa kerana dilihat kurang efisien dan tergesa-gesa, sistem maklumat pelajar yang berisiko untuk dimanipulasi serta perjalanan PRK tahun lepas yang menyukarkan pelajar, adakah telah ditangani atau tiada jaminan segala kesulitan diatasi. Walau bagaimanapun, Tarmizi akui pihaknya bersedia menghadapi PRK dengan iltizam baru dan lebih baik menurutnya.



Sementara itu, blog yang dikatakan milik jentera kumpulan Aspirasi, Media Kampus UPM dilihat memulakan sesi menaikkan 'mood' pilihanraya dengan pesanan-pesanan seperti "Hati-hati dengan risalah warna-warna, janji-janji manis persatuan 'kaler' ungu, kempen geng pengganas warna oren dan macam-macam lagi". Namun, tidak dapat dipastikan kepada siapa pesanan tersebut dituju. Slogan seperti 'Hayatilah prinsip rukunegara kita' dan 'Kami benci keganasan, we love UPM' turut diperkenalkan.

Pilihanraya kampus UPM dikelola oleh Jawatankuasa Pemilihan, Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2012 dengan bakal menyaksikan perebutan 11 kerusi umum dan 36 kerusi fakulti antara kumpulan Aspirasi, Pro-Mahasiswa dan bebas.-PutraNews

Sila muat turun notis Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2012 dan jadual yang ditetapkan.
http://www.pphepa.upm.edu.my/pmpp/Binder1.pdf
Ranking: 5

{ 0 komen... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Harian Putra | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO