PRK UPM 2012: Sistem Kertas Undi atau E-Undi?

on 18 Sept 2012

Serdang, 19 Sept: Peraturan Pilihanraya Kampus UPM sering dipersoalkan dalam kalangan pelajar terhadap Jawatankuasa Pemilihan MPP. Peraturan pemilihan yang dipinda setiap tahun, didakwa mengelirukan calon dan pengundi setiap kali pemilihan dijalankan.

Antaranya, Fasal 31 yang menjelaskan tentang "Pengundian dan Penjumlahan undi Secara Kertas Undi" manakala Fasal 32 pula menerangkan tentang "Pengundian dan Penjumlahan Undi Secara E-Undi" didakwa mengelirukan. Hal ini kerana UPM menggunakan sistem e-undi yang diperkenalkan sejak tahun 2003 hingga pemilihan tahun lepas.

Berikutan fasal kontroversi itu, Nor Fatehah Ahmad, calon pemilihan MPP 2012 memohon penjelasan daripada Naib Canselor, Dato' Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi secara langsung tentang kaedah pemilihan akan datang sama ada menggunakan kertas atau e-undi.

Kaedah e-undi mula diperkenalkan di UPM pada 2003 dan kemudian di UIA (Universiti Islam Antarabangsa) dalam suasana penuh bantahan beberapa kumpulan pelajar. Selain menerima bantahan bertubi-tubi daripada beberapa kumpulan pelajar sejak ia diperkenalkan, kumpulan pelajar UPM sendiri pernah memulaukan pilihanraya kampus selama dua tahun berturut-turut pada 2005 dan 2006.

E-undi yang ditolak pada awalnya oleh beberapa kumpulan pelajar serta menuntut pemilihan diuruskan oleh pelajar, kini tidak lagi ditolak sepenuhnya namun masih meragui sistem tersebut kerana ia masih terdedah untuk dimanipulasi pihak tertentu.

Ini kerana e-undi dikawal oleh pihak pentadbiran universiti terutamanya jawatankuasa pemilihan daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) yang dianggap membela kumpulan Aspirasi.

Pada tahun 2003 apabila e-undi diperkenalkan, seorang calon aktivis pelajar pernah hanya mendapat satu undi.  Setiap calon sepatutnya memperoleh tiga undi sekurang-kurangnya termasuk pencadang dan penyokongnya. Selepas disemak, calon tersebut mendapat 81 undi.

Berdasarkan perkembangan semasa, sistem e-undi telah diterima namun ketelusan dan integriti sistem tersebut masih dipersoalkan selagi tiada penglibatan pelajar dalam mengurus pilihanraya kampus -PutraNews
Ranking: 5

{ 0 komen... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Harian Putra | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO