SURAT: Persepsi Terhadap Aspirasi dan Pro-M di UPM

on 18 Sept 2012


Sistem politik di kampus adalah berteraskan dan bercorakan dengan sistem politik dalam negara kita. Sebagaimana politik negara yang mengamalkan sistem demokrasi, begitu juga sistem yang sama digunapakai dalam kampus sebagai usaha untuk mendidik dan menerap sistem politik asas kepada mahasiswa yang bakal berkecimpung dalam politik negara suatu masa nanti. Namun ramai yang terkeliru, yang mana mereka menganggap bahawa Islam mengamalkan sistem demokrasi.

Sesungguhnya secara jelas tiada hubungan secara langsung antara Islam dengan demokrasi. Tidak ada demokrasi dalam Islam. Bagaimana mungkin jika sekiranya demokrasi yang diamalkan semakin menjauhkan manusia daripada Allah s.w.t.. Lebih-lebih lagi seperti apa yang kita lihat di Barat walaupun daripada satu aspek unsur kebajikan rakyat berjaya diperjuangkan, namun adalah amat bertentangan dengan adanya demokrasi ini telah mengharuskan seks luar tabii, seks bebas, dan lain-lain.

Cumanya, Islam mengambil jalan demokrasi dalam pemilihan pemerintahan kerana berdasarkan waqie di sini yang bersesuaian dengan keadaan semasa, tempat dan zaman dalam keadaan yang harmoni dan selamat, walaupun pada beberapa ketika unsur demokrasi yang diamalkan di sini mungkin agak berat sebelah.

Pilihanraya kampus mengamalkan sistem demokrasi yang lazimnya yang dikuasai oleh dwi-parti, yang secara jelasnya dalam politik negara terdapat pihak kerajaan dan pembangkang. Begitu juga politik kampus turut dicorakkan dengan corak yang hampir sama dalam  pemilihan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) yang lazimnya akan diadakan pada setiap tahun secara umumnya.

Situasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) secara khususnya dilihat yang mana pertembungan antara dua kumpulan yang lebih dikenali sebagai pihak Aspirasi dan Pro-Mahasiswa atau Pro-M, yang masing-masing mempunyai agenda tersendiri dalam membawa aspirasi mahasiswa.

Secara jelasnya, Aspirasi dianggap bertulangbelakangkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) manakala Pro-M pula dicerminkan sebagai jelmaan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) yang mempamerkan wajah dan dakwah Islam.

Namun, hakikatnya konspirasi kumpulan Aspirasi dan Pro-M secara tidak langsung mempunyai kaitan  dengan politik negara, yang mana Aspirasi dan BHEP terlibat dengan BN dan UMNO manakala Pro-M dan PMI pula bersekongkol dengan PR dan PAS. Mengapa pula jadi sebegini? Di manakah letaknya kebebasan politik kampus yang sepatutnya tidak perlu sama sekali kepada campur tangan pihak luar?

Kumpulan Aspirasi dan BHEP berkaitan secara langsung walaupun hakikatnya bukanlah semuanya terlibat. Aspirasi yang disertai oleh pelajar sendiri bahkan ada beberapa alumni yang terlibat dengan mereka. Mereka ini seolah-olah terpesona dengan janji manis yang dihamburkan oleh BHEP dengan beberapa jawatan, peluang dan lain-lain yang membuatkan mereka seolah-olah terikut dan terikat dengan BHEP.

Masakan tidak, sebagai contoh dalam PRK yang bakal menjelang tiba ini dapat dilihat bahawa bahawa calon-calon tajaan Aspirasi adalah lazimnya mereka yang telah berpengalaman dan berkecimpung dalam bidang kepimpinan sama ada dalam Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM), fakulti, kelab dan persatuan yang mana telah memberi mereka sedikit sebanyak kredibiliti untuk bakal menjadi MPP.

Tambahan pula, saban tahun sebelum menjelang PRK, calon-calon tajaan ini akan dibawa ke kem tertentu untuk memberi persediaan dan grooming kepada mereka. Mereka turut dibantu oleh skuad Harimau Maut yang menjadi agen keselamatan bagi mereka khususnya dalam mendepani situasi PRK yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Begitu juga sebaliknya dengan seteru mereka, Pro-M dan PMI. Lewat ini, gerakan Pro-Mahasiswa Nasional yang kelihatan begitu rancak dan agresif di universiti sekitar Lembah Klang khususnya telah menyuntik dan menyemarakkan lagi semangat juang mereka. Hakikatnya, kelihatan Pro-Mahasiswa Nasional secara umum umpama gerakan yang syok sendiri dalam membawa panji perjuangan mereka.

Bagi mengaburi mata banyak pihak, Pro-Mahasiswa di UPM khususnya telah cuba menjelmakan diri mereka di belakang PMIUPM yang berusaha untuk mengizzahkan Islam di kampus ini. Keadaan ini jelas lebih kelihatan lebih-lebih lagi setelah berlakunya kes Black Day UPM pada 23 Febuari 2011 lepas, yang mana merupakan peristiwa berdarah dan sejarah hitam di UPM yang tidak akan terpadam selamanya.

Bagi menjelang PRK yang bakal tiba ini, Pro-M UPM dan PMIUPM akan bersekongkol seperti yang berlaku tahun sebelum ini, dalam usaha untuk menaikkan calon mereka di mata mahasiswa. Amat mendukacitakan lagi, kebanyakan mereka yang terlibat sebagai calon khususnya apabila mereka berada di bawah payung Pro-M UPM dan PMIUPM, mereka kurang miliki pengalaman yang luas dalam bidang kepimpinan.

Apa yang ada pada mereka adalah memaparkan poligam ataupun politik gambar dalam usaha untuk meraih undi. Dengan berkonsepkan wajah yang tampan, muka yang cantik yang diyakini mendapat perhatian mahasiswa untuk mengundi mereka.

Berbalik kepada PRK yang mana usaha untuk meraih undi pula adalah jelas. Pihak Aspirasi diberikan peluang dan platform yang luas untuk berkempen dan menyampaikan manifesto mereka, manakala bagi mereka yang bersama dengan Pro-M pula dikekang bahkan disekat daripada mereka menyampaikan manifesto mereka walaupun mereka juga bertanding di atas satu platform demokrasi yang sama! Ini adalah satu penindasan!

Setelah usai meraih undi dan perkiraan dibuat, unjuran beberapa tahun ke belakang ini menyaksikan Aspirasi menguasai sebahagian besar kerusi MPP sama ada di peringkat umum mahupun fakulti, manakala Pro-M terus tersisih dan terpinggir. Bila mana perlantikan Exco dalam MPP dijalankan sangat jelas kelihatan berat sebelah kepada Aspirasi apabila perlantikan jawatan hanya dimonopoli oleh golongan mereka.

Bahkan dalam perlantikan Top Board MPP dan beberapa exco penting kepada pelajar hanya dimonopoli oleh mereka sendiri. Sedangkan MPP daripada pihak Pro-M sendiri ada yang berkelayakan dan bersesuaian tetapi mereka telah ‘dianaktirikan’ dan disisihkan bahkan jawatan mereka adalah seolah tidak relevan walaupun mereka adalah diundi atas tiket umum yang wajar diberikan bidang kuasa dan jawatan yang lebih sesuai.

Bila tertubuhya organisasi MPP yang sah, ada antara mereka dalam organisasi MPP menyatakan bahawa mereka bertindak bukan di bawah nama Aspirasi mahu pun Pro-M, tetapi di bawah satu organisasi MPP. Ini hanyalah sekadar pentas mainan politik kampus. Istilah ‘meeting sebelum meeting’ adalah perkara normal untuk beberapa mesyuarat yang penting, hasilnya adalah apabila mesyuarat yang rasmi antara semua  MPP dijalankan, ianya sekadar pembentangan semata, bukan seperti perbincangan yang dijangka.

Begitulah yang berlaku dalam organisasi MPP sedikit sebanyak berdasarkan pemerintahan umum yang dilaksanakan. Tidak cukup dengan itu, kebanyakan aktiviti yang mana memerlukan wakil daripada MPP khususnya akan dilebihkan dan diutamakan kepada mereka yang berada di bawah tiket Aspirasi. Sungguh sadis lagi terasa hina bagi mereka yang bersama Pro-M apabila diperlakukan sedemikian.

Hakikatnya MPP Aspirasi dan Pro-M adalah sama tapi tidak serupa. Sama dari segi hasilnya, tapi berbeza dari asal usulnya. MPP Aspirasi terus terlena dengan keseronokan dan keasyikan yang ditawarkan oleh pihak BHEP, manakala MPP Pro-M pula dengan sambil lewa tidak menggalas beban kerja bahkan mengabaikan bidang tanggungjawab sama ada di peringkat fakulti mahu pun dengan alasan mereka tidak mahu menjalankan tanggungjawab sebagai MPP kerana mereka tidak mahu bersekongkol dengan Aspirasi.

Selagi mana Pro-M tidak menguasai 2/3 kerusi MPP, selagi itu mereka terus bersifat sedemikian. Ini adalah tanggapan dan tindakan yang bodoh! Mahasiswa mengundi mereka kerana percaya kepada mereka untuk menjadi pemimpin pelajar dan mampu membawa isu dan masalah kebajikan pelajar kepada pihak atasan. Jika alasan seumpama itu terus dimainkan, maka jawablah sendiri bila bertemu dengan tuhan kelak!

Seperti yang sedia maklum, IPT adalah badan bebas yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik, medan juang politik mahasiswa adalah sewajarnya bebas daripada sebarang campur tangan pihak politik luar. Namun, amat menyedihkan bila mana Kampus Bumi Hijau UPM ini sering menjadi tempat sasaran kepada pihak tertentu untuk kepentingan politik.

Sebagai contoh, himpunan LGBT yang telah diadakan di Stadium UPM pada 22 April 2012, seterusnya yang masih lagi hangat adalah Mesyuarat Pemuda Umno Puchong ke-9 di Dewan Banquet UPM pada 17 September 2012. Mengapa semua ini berlaku? Adakah kerana mungkin orang atasan dari pihak UPM sendiri adalah disertai oleh beberapa wakil UMNO mahupun BN membenarkan mereka dengan sewenangnya menggunakan kemudahan yang ada?

Manakala jika pihak yang tidak bersama dengan UMNO dan BN, mereka tidak dibenarkan menggunakan kemudahan di IPT untuk program mereka, seperti mana yang berlaku kepada Konvensyen Fiqh Politik Semasa 2012, yang mana pembatalan tempat konvensyen 36 jam sebelum berlangsungnya program walaupun pihak UIAM telah mendapat bayaran deposit sebanyak 50% wang sewaan dengan alasan bahawa ia bercanggah dengan AUKU.

Padahal intipati perbincangan adalah bersifat akademik, ilmiah dan hampir sama diajarkan di jabatan politik bagi kampus yang menawarkan pengajian sains politik. Cuma bezanya adalah penceramah luar yang berbeza latar belakang menjadi penceramah jemputan. Bagi saya ini adalah satu tindakan yang zalim dan amat memalukan. Sewajarnya jika benar kampus adalah benar-benar zon bebas daripada sebarang bentuk politik luar, maka sebarang bentuk aktiviti yang melibatkan politik umum perlu disekat sehabis mungkin.

Langkah kedua yang lebih effective adalah jika ingin membuka ruang kepada parti politik terlibat dalam kampus, maka sewajarnya perlu dibuka ruang dan peluang yang adil lagi saksama kepada parti kerajaan mahupun pembangkang! Bagaimana pula ingin memastikan politik kampus yang sihat dan bersih? Bebas daripada cengkaman dan manipulasi politik luar? Terbuka dalam membuat keputusan?

Di sinilah letaknya peranan kelab, persatuan, Majlis Tertinggi Mahasiswa yang perlu bertindak sebagai third force kepada MPP. Tidak salah untuk bertanding atas dwiparti yang berbeza, namun dalam aspek melaksanakan dan memperjuangkan kebajikan pelajar dalam mendepani beberapa isu nasional yang terlibat haruslah sama sekali BHEP dan PMI di tolak ke tepi. Antara flatform yang terbaik yang dilihat relevan bukan idealiastik adalah penubuhan Dewan Parlimen Mahasiswa yang dapat memberikan peluang kepada semua badan dan persatuan yang ada di UPM untuk terlibat secara langsung.

Namun, janganlah pula Dewan Parlimen Mahasiswa yang diadakan adalah menjadi boneka dan mainan kepada BHEP. Biarlah pelajar bertindak rasional dan ideal dalam membahaskan isu yang mereka ketengahkan. Walaupun kelihatan perbincangan Dewan Parlimen Mahasiswa telah diadakan sebanyak 2 kali sebelum ditubuhkan secara rasmi, namun jelas kelihatan bahawa BHEP seolah-olah menjadi bayang hitam kepada diskusi pemimpin pelajar ini.  

BHEP sewajarnya bertindak sebagai badan luar yang tidak mengongkong dan mengawal aktiviti MPP, menjadi pemudah cara kepada MPP dalam menyelesaikan masalah yang dibawa, bukannya menjadikan mereka yang bersama Aspirasi sebagai anak emas, sedangkan mereka yang bersahabat dengan Pro-M ‘dianaktirikan’.

Persoalan yang timbul di benak fikiran, adakah budaya politik sihat dan bersih, situasi politik yang adil dan saksama tanpa kongkongan dan manipulasi dapat diwujudkan dalam bumi hijau UPM ini? Walaupun ada yang mengatakan ini adalah sekadar idealis dan retorika semata, namun bagi saya ini boleh dilaksanakan, dan mampu berpijak di bumi nyata. Biarkan mereka Aspirasi dan Pro-M yang mendepani isu politik kampus.

Hentikan campur tangan BHEP dalam Aspirasi, buang topeng PMI dalam wajah Pro-M, tamatkan hubungan BN dan UMNO kepada politik dalam kampus, dan hentikan kaitan antara PR dan PAS kepada mahasiswa. Biarkan mereka beradu tenaga, memerah keringat dalam situasi politik yang bebas, adil dan saksama. Bila mereka telah melangkah kaki ke luar universiti, di garisan itu barulah bermula medan pentas politik sebenar untuk mereka.

Akhir kata, selamat menghadapi PRK 2012!

Oleh-Pelajar yang inginkan politik kampus aman dan bersih

Penulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian PutraNews. PutraNews tidak bertanggungjawab atas kekurangan dan kesilapan pada penulisan tersebut. 

Sebarang artikel atau pandangan untuk dipaparkan, sila emel ke surat.putranews@gmail.com
Ranking: 5

{ 8 komen... read them below or add one }

Anonymous said...

bangkit2! kali ni harap xlah pecah pintu...dan mohon jgn kita dok jemput org2 luar..


18 September 2012 at 21:44
Anonymous said...

Tahniah kepada penulis yang menggarap artikal ini..saya juga yakin dan percaya harapan yang dibawa oleh saudara bukan satu bentuk idealistik tetapi ia boleh dipraktikan...suasana kampus sebegini yang patut ada dalam sebuah kampus yang berautonomi...BERILMU BERBAKTI


18 September 2012 at 22:58
Anonymous said...

boleh jadi penulis buku teori konspirasi penulis ini...yang pasti penulis artikel ini juga ada pendirian politik BEBAS...


19 September 2012 at 00:53
Anonymous said...

pandangan yg agak menarik untuk dikongsi..
thnks di atas perkongsian.. (admin : tolong sampaikan salam pd penghantar surat ni)
pendirian n kritikan yg terbuka, jejak langkah hampir seperti Dr Maza..


19 September 2012 at 02:15
Anonymous said...

...Dan akhirnya hapuskan politik kampus...hidup...hidup...hidup parti BEBAS...buat seperti pemilihan ketua kelas tanpa campur tangan politikus, politupai dan wujudkan politeknik di kampus untuk mencaturkan politik yang relevan dengan tuntutan konspirasi...


19 September 2012 at 04:23
Anonymous said...

politik sebenarnya hidup dengan wang...tanpa wang tiada gerakan politik...jadi berhati-hatilah dengan "The Hidden Hand"...


19 September 2012 at 04:29
Anonymous said...

akh n akhwat sy bystander! sy xtahu pon siapa calon, at last saya juz pilih berdasarkan raut wajah! Pro A and Pro-M ada masalah didalam kejelikatan dalam perhubungan, masing2 ego! at last student tak terbela..wakakakakak tgk isu jalan lebuh silikon dulu sudah la...berkadok..nk elok...time tu mana pro M? mana aspirasi puiihhhhhhhhh! semua diam goyang telur...last2 masuk Berita harian baru la elok... it seems MPP are puppets! Mana pro-M? demo la weii....aspirasi cegamapang goyang telur je...MPP sucks!


19 September 2012 at 10:44
Unknown said...

anonymous kat atas nih.. dari bashing MPP rasanya baik anda calonkan diri anda jew...


22 September 2012 at 09:29

Post a Comment

 
© Harian Putra | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO