Showing posts with label pencapaian UPM. Show all posts
Showing posts with label pencapaian UPM. Show all posts

Tahniah Fathiah! Dinobatkan Juara Kategori Nusantara PABM 2012

on 9 Mar 2012

Putrajaya, 9 Mac: Pemidato Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mewakili Malaysia dalam pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2012, Fathiah Ibrahim muncul sebagai juara kategori nusantara menewaskan dua lagi peserta bagi kategori tersebut.

Fathiah menerima replika cek RM15,500, hadiah iringan dan sijil daripada YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak


Manakala pesaing beliau, Dayangku Mumtazah Pengiran Md. Jaafar dari Brunei dan Wahyudi dari Indonesia masing-masing menyandang tempat kedua dan ketiga.

Bagi kategori antarabangsa, peserta Afghanistan, Sebghatullah Qazizada dinobatkan sebagai juara pertandingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Sebghatullah Qazizada mengatasi empat peserta lain bagi kategori itu pada pertandingan peringkat akhir yang berlangsung malam semalam.

Pertandingan turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kemudian menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Pertandingan itu disertai 69 peserta dari 64 negara, hanya melayakkan lapan peserta ke pertandingan peringkat akhir.

Tempat kedua kategori antarabangsa dimenangi Polina Matveycheva dari Rusia, manakala tempat ketiga pula milik Elena Vorobyeva dari Latvia. Selain mereka yang layak ke pertandingan akhir kategori antarabangsa, pemidato Jepun, Yota Tamura dan Marina Makarova dari Moldova.



Pertandingan turut bersiaran langsung di TV1 RTM

Fathiah yang menerima ucapan tahniah dari banyak pihak turut mengucapkan syukur bersama perasaan gembira dengan menganggap kejayaan beliau sebagai hikmah setelah "penat, lelah, air mata dan bermacam dugaan" ditempuh.

Beliau juga berterima kasih kepada banyak pihak yang memberi sokongan terutamanya kepada ibu bapa dan keluarga, 'mentor' beliau yang turut berpengalaman dalam pidato termasuk Shamsul Salleh dan Amiruddin yang masing-masing pernah mewakili Malaysia peringkat akhir PABM 2009 dan 2011 serta rakan-rakan beliau.

Johan bagi setiap kategori menerima piala pusingan iaitu Piala Perdana Menteri, piala iringan, wang tunai AS$5,000 (RM15,000), hadiah iringan dan sijil.

Naib johan pula membawa pulang piala iringan dan AS$3,000 (RM9,000), manakala pemenang tempat ketiga menerima piala iringan dan AS$2,000 (RM6,000)-PutraNews.





Tag :

Pemidato UPM Wakil Malaysia ke PABM

on 7 Mar 2012

Serdang, 8 Mac: Pemidato dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Fathiah Ibrahim bakal mewakili Malaysia ke peringkat akhir Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) ke-6 yang akan berlangsung malam ini.



Pertandingan berprestij yang bertujuan memartabatkan Bahasa Melayu ini akan menyaksikan perebutan piala pusingan Piala Perdana Menteri oleh wakil dari 3 negara bagi kategori nusantara dan 5 negara bagi kategori antarabangsa.

Fathiah Ibrahim

Fathiah yang berada dalam kategori nusantara akan bersaing dengan Wahyudi (Indonesia) dan Dk Mumtazah Pg. Haji Md Jaafar (Brunei) bagi merebut gelaran johan. Lima negara bagi kategori antarabangsa adalah dari  Moldova, Rusia, Jepun, Afghanistan dan Latvia.

Dalam PABM ke-6, 69 peserta dari 64 negara menyertai pertandingan tersebut, meningkat berbanding tahun lepas sebanyak 61 negara menghantar wakil.

Peringkat akhir pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2012 akan berlangsung malam ini (8 Mac) pada jam 8.00 malam di PICC Putrajaya.

Pemidato UPM mencatat sejarah apabila tiga kali berjaya mewakili Malaysia ke peringkat akhir sejak penganjuran PABM 2007 iaitu tahun 2009, 2011 masing-masing diwakili Shamsul Salleh dan Amiruddin Abd Rahman. Tahun ini merupakan kali ketiga pemidato UPM berjaya ke pusingan akhir.

PutraNews mengucapkan tahniah dan selamat berjaya kepada Fathiah Ibrahim bersama doa pulang membawa kejayaan.-PutraNews
Tag :
 
© Harian Putra | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO