Showing posts with label pmiupm. Show all posts
Showing posts with label pmiupm. Show all posts

PMIUPM: AGM 2 Lancar, Hazim Sebak

on 9 Mar 2012

Serdang, 9 Mac: Selepas Mesyuarat Agung Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (AGM PMIUPM) 2012 yang dijalankan Khamis lepas tidak sah dalam keputusan pada penghujung AGM, semalam AGM kali kedua PMIUPM berlangsung dengan lancar.

Sebahagian besar ahli tetap persatuan hadir sebagai perwakilan. Turut hadir dalam majlis perasmian, Pengarah AGM, Abdul Razak Omar, Penyelaras persatuan, Ustaz Nuruliman Ibrahim para pemerhati luar termasuk wakil bukan Islam dan pengawal keselamatan.


Farhannaim sebagai Pengerusi Tetap

Dengan persetujuan majoriti, Muhamad Farhannaim dipilih sebagai Pengerusi Tetap. Sebaik majlis perasmian selesai dan sesi perbahasan usul bermula, Pengerusi Tetap meminta selain ahli persatuan untuk keluar dewan pada awalnya namun sempat diperbetulkan oleh Hazim bahawa selain ahli persatuan boleh hadir sebagai pemerhati yang tidak dibenarkan terlibat dalam perbahasan usul.


Hazim dalam ucapan pembubaran

Hazim dalam ucapan beliau sebelum pembubaran menyebut, "Tidak ada gunanya seorang pemimpin itu memimpin jika tiada ketaatan daripada ahli." Seterusnya, Hazim umumkan pembubaran kepimpinan PMIUPM 2010/2011.

AGM diteruskan dengan pengumuman oleh Pengerusi Tetap, lantikan baharu pimpinan persatuan sesi 2011/2012. Tidak ada perubahan lantikan baharu kali ini seperti diumumkan dalam AGM Khamis lepas.

Suasana AGM mula berubah apabila Hazim bangun dan umumkan bahawa beliau menolak jawatan Presiden. Perwakilan yang tergamam seketika kemudiannya mencadangkan posisi 'orang pertama' persatuan itu dipilih secara undi.


Pemilihan kali ini berbeza apabila Presiden dipilih secara undi berbanding pemilihan secara syuro pimpinan semasa dalam AGM sebelum ini

Antara sebab Hazim menolak posisi yang disandang beliau lepas, dengan nada rendah hati beliau sebut, tiada ketaatan ahli terhadapnya, ditekan dengan tohmahan dan fitnah ke atas beliau selain memberi peluang kepada yang lebih baik.

Selain Hazim, calon Presiden yang dicadangkan oleh perwakilan iaitu Muhamad Farhannaim, Pengerusi Tetap AGM. Hazim mendapat undi sebanyak 88 undi daripada 122 undi sekali gus dilantik semula sebagai Presiden.

Beberapa usul yang sempat dibahaskan antaranya usul untuk meminda perlembagaan yang kali terakhir dipinda 2001, menubuhkan badan muallaf dan usul terakhir, menukar penasihat persatuan dengan Pengarah Pusat Islam secara automatik sebagai penasihat.

Pada penghujung AGM, dengan nada sebak dan terkedu-kedu, Hazim dalam ucapannya timbul rasa tertanya-tanya sebab majoriti ahli persatuan masih memberi kepercayaan kepada beliau untuk memimpin persatuan. Tambahan pula, ada ura-ura menyebut beliau telah lari dari landasan perjuangan sebenar PMIUPM dengan tekanan ke atas beliau.

Pemilihan pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam UPM 2011/2012 terkini selesai dengan posisi masing-masing Hazim selaku Presiden, Syakirin Md Zahar merangkap Timbalan Presiden, Ahmad Zulfadhli Ahmad Kamal sebagai Setiausaha Agung, Shahirah Hatta sebagai Setiausaha Kerja, Presiden D'Naim, Muhd Sufiyan Mohd Nor menyandang jawatan Bendahari, Aqilah Mukhtar sebagai Pengerusi Helwani, Siti Zulaikha Rusmadi selaku Timb. Pengerusi Helwani dan siswi berasal dari Sabah, Kartika Firman sebagai Timb. Bendahari.-PutraNews


Berita disediakan wakil PMIUPM dan disunting oleh PutraNews
Tag :

Hazim Sedia Hadapi AGM ke-2 PMIUPM

on 5 Mar 2012

Serdang, 6 Mac: Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PMIUPM Khamis lepas menyaksikan perdebatan antara perwakilan menyebabkan AGM sedikit kecoh berikutan beberapa perwakilan yang mengkritik perjalanan majlis dan menuntut AGM ditangguh. 

Dalam AGM tersebut, hanya satu usul sempat dibahaskan dan berakhir dengan keputusan untuk mengadakan AGM ke-2 dengan sokongan majoriti yang menolak AGM akibat daripada kekecohan tersebut.

Sementara itu, TNCHEPA, Prof Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan yang sedia maklum tentang insiden yang berlaku sebaliknya berpandangan menerima AGM pertama itu sebagai sah dan tidak perlu adakan AGM kedua sekiranya mengikut konstitusi dan persetujuan 2/3. 

Mengikuti perkembangan Mesyuarat Agung Tahunan itu, Hazim dalam kenyataan beliau hari ini menyatakan bahawa beliau bersedia untuk AGM ke-2 dengan perlaksanaan AGM yang lebih baik. AGM ke-2 yang bakal diadakan seperti dalam persetujuan majoriti untuk mandatkan kepada wakil 'senior' sebagai penganjur, akan diketuai oleh mantan Presiden PMIUPM 2010/2011, Abdul Razak Omar.

Menurut Hazim, "Saya bersedia dengan segala apa sahaja keputusan Majlis Syuro pimpinan PMIUPM sama ada saya kekal Presiden ataupun digugurkan dari jawatan Presiden."

Hazim juga selaku Presiden sesi lepas berterima kasih dan memohon maaf kepada hadirin yang hadir termasuk Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM (MPPUPM), Mohd Iqbal Ismat atas insiden luar jangka itu.

Merujuk Perlembagaan Persatuan/Kelab UPM, Persatuan/Kelab yang berdaftar di UPM diwajibkan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Persatuan/Kelab selaras dengan Perkara 2 dan Perkara 4 yang termaktub di dalam Perlembagaan Persatuan/Kelab yang mengharuskan semua Persatuan/Kelab mengadakan Mesyuarat Agung pada setiap satu (1) tahun mengikut tarikh yang dimaklumkan oleh Seksyen Pembangunan Pelajar, BHEP UPM.

Persatuan/Kelab yang tidak adakan AGM berisiko untuk terbatal secara automatik sebagai persatuan berdaftar UPM. Sehingga kini, PMIUPM yang dikatakan akan adakan AGM ke-2 belum menetapkan tarikh dan urusan prosedur untuk adakan program juga belum dibuat.-PutraNews 



Tag :

AGM PMIUPM: Hazim Kekal Presiden, AGM Kecoh

on 4 Mar 2012

Serdang, 3 Mac: Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM), Mohd Hazim Mohd Noh kekal di kerusi beliau sebagai Presiden setelah pengumuman pimpinan tertinggi baharu dalam Mesyuarat Agung (AGM) persatuan itu dibuat Khamis lepas.

Pemilihan yang dibuat secara 'syuro' oleh pimpinan lepas menyaksikan dua posisi kekal disandang masing-masing Syakirin Md Zahar (Timb. Presiden) dan Shahirah Hatta (Setiausaha Kerja).

Antara 'muka baru' yang dilantik, Ahmad Zulfadhli Ahmad Kamal sebagai Setiausaha Agung, Presiden D'Naim, Muhd Sufiyan Mohd Nor menyandang jawatan Bendahari, Aqilah Mukhtar sebagai Pengerusi Helwani, Siti Zulaikha Rusmadi selaku Timb. Pengerusi Helwani dan siswi berasal dari Sabah, Kartika Firman sebagai Timb. Bendahari. Boleh rujuk di video terbitan Media PMIUPM disini,



AGM KECOH, BEBERAPA PERWAKILAN TUNTUT AGM KE-2 DIBUAT

Perjalanan AGM mula terganggu apabila seorang perwakilan yang juga mantan Presiden PMIUPM 2010/2011, Abdul Razak Umar bangun dan menegur perjalanan AGM dengan mendakwa AGM yang baru sahaja bermula tidak mengikut format dan notis jemputan AGM agak lewat, dikatakan bercanggah dengan perlembagaan PMIUPM.

Teguran awal itu kemudiannya disambut oleh beberapa perwakilan lain yang sependapat dengan Razak, mula bangun untuk menegur Pengerusi Tetap AGM.

Sementara itu, ada perwakilan yang mencelah untuk mendesak perwakilan hentikan provokasi yang mengganggu majlis dan cadangkan AGM diteruskan dengan penambahbaikan.

Suasana AGM semakin kecoh apabila Razak dan beberapa perwakilan lain terus mendesak AGM ditunda ke hari lain, menyebabkan seorang perwakilan bangun meminta mereka meninggalkan mesyuarat penting itu kerana mencetuskan provokasi.

Perdebatan dan desakan untuk tunda AGM yang dikatakan berpunca daripada hanya kesilapan teknikal oleh penganjur menimbulkan resah dalam kalangan perwakilan dan pemerhati yang mula beransur meninggalkan majlis kerana kecewa dengan sikap perwakilan yang cetuskan provokasi dengan mendesak AGM ditunda walaupun kerana kesilapan teknikal.

Pada hujung AGM, Pengerusi Tetap, Amirul Rahman mengumumkan AGM ditunda dan akan dibuat kali ke-2 dengan sokongan majoriti bagi meredakan suasana dan tidak puas hati pihak yang mendesak. 

AGM SAH, PERLANTIKAN SECARA SYURO

Sementara itu, Pengerusi Tetap, Amirul Rahman akui kesilapan teknikal malam itu berlaku secara tidak diduga dan masih ada ruang diperbetulkan secara baik, bukan dengan menimbulkan kekecohan di majlis.



Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa kekecohan yang berlaku telah dirancang kerana rasa tidak puas hati dengan kaedah perlantikan pimpinan baharu seperti yang diamalkan sebelum ini melalui syuro pimpinan semasa.

Berbeza dengan keputusan mesyuarat agung agar ditunda, Hazim yang berjumpa TNCHEPA, Prof Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan keesokan harinya, memaklumkan bahawa beliau (Fauzi Ramlan) menerima AGM pertama itu sebagai sah dan tidak perlu adakan AGM kedua sekiranya mengikut konstitusi dan persetujuan 2/3.

Hazim yang dihubungi berkata "TNC sedia maklum dengan apa yang berlaku dan beliau sempat bertanya kepada saya tentang AGM ketika saya berjumpa beliau bagi berbincang tentang program persatuan. Saya menceritakan serba sedikit apa yang berlaku dan beliau berkata di peringkat HEP tiada masalah."
 
Mengulas tentang apa yang berlaku malam tersebut, tambah Hazim, "Penyuaraan terhadap sesuatu dasar ataupun pendapat haruslah dilakukan dengan mengambil kira di mana kita berada. Kita ada tetamu kehormat dan pemerhati malam itu daripada kalangan bukan Islam pun ada. Sikap berbantah-bantah menjatuhkan maruah dan merugikan kita dan kesatuan dakwah."

Mengikuti perkembangan AGM tersebut, Hazim yang dilantik semula Khamis lepas sependapat dengan TNC, dengan merujuk semula konstitusi dan persetujuan 2/3 perwakilan, sama ada perlu atau tidak AGM ke-2.-PutraNews


Tag :
 
© Harian Putra | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO